Followers

Monday, November 30, 2009

Jadilah pemimpin terbaik wahai adam....

1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat
    dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami
     terlupa mengenai hal ini.

2. Jika sudah mendirikan rumah tangga, bersyukur kerana mempunyai
    pasangan. Yakinlah isteri anda pasangan terbaik yang Tuhan tentukan
    untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3. Suami ‘mithali’ menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk
    sifat positif dan istimewa.. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan
    yang boleh dibanggakan isteri anda.

4. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari.
    Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit
    yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari?

5. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami
    tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan
    turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.

6. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan
    semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai
    suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

7. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang
    anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok
    dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

8. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan
    yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan
    hubungan suami isteri.

9.  Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat
     menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan
     mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa
     makan.

10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa
     mandi bersama adalah sunnah yang dapat mengeratkan hubungan suami
     isteri.

11. Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunnah yang dapat
     meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan membahagiakan
     pasangan anda.

12. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap mungkin. Amalan bermesyuarat
     menarik hidayat Tuhan, mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak
     masalah.

13. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan
      ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan
      penampilan diri sendiri. Mana adil ?


14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan peringatan secara hikmah.
      Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang
      cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin.

15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan
      kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja.
      Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita
      dan rumah tangga terancam.


16. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan,
      kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia
      membentuk keluarga sejahtera.

17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga
      juga patuh kepada Tuhan.

18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara
      sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada
      orang lain. Ini wajib dihentikan.


19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang
      membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami
      memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana?


20. Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang
      dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka
      apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

21. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki
      suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah
      tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.


22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri
      merajuk bukan sebab ditegur tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila
      suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.


23. Gunakan Nabi Muhammad s.a.w sebagai ‘role model’. Hidupkan amalan
      sunnah dalam rumah tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan
      menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.


24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain.. Ini adalah
      tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain
      daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.

25. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila
      berjauhan, telefon atau SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan
      isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga
      suami meninggal dunia.


26. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah
      mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga, tidak pernah sengsara
      serta berteraskan iman dan takwa.


27. Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan
      keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut
      berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.


28. Pamer keprihatinan yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami
      tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat
      tambahan yang patut diberikan kepada keluarga.


29. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar,
      waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan
      masalah.


30. Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki
      cuba hormat wanita tertentu sahaja. Ramai isteri yang kecewa terhadap
      suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.

No comments: